Hari Raya Aidiladha (عيد الأضحى ‘Eid Ul-Adha)/Hari Raya Haji/Hari Raya Korban


Alhamdulillah tahun ini 2009 sekali lagi kita dapat menyambut Hari Raya Korban yang mana jatuhnya pada hari bagi segala penghulu hari, iaitu hari Jumaat 27 November 2009. Hari Raya Korban disambut setiap tahun dalam bulan kalendar Islam 10 Zulhijjah.

Mungkin kita dah lupa dengan pelajaran berkenaan raya haji ketika kita menuntut di sekolah dahulu. Mari sama-sama kita ‘refresh’  😀 kembali apa pengertiaan Hari Raya Korban. Di sini saya kongsikan sedikit.

Merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.


Qurban

Ialah penyembelihan binatang yang dilakukan kerana beribadat kepada Allah pada Hari Raya Haji dan juga hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Hukum

1. Sunat muaakat kepada orang perseorangan yang mampu dan cukup syarat-syaratnya iaitu Islam, sampai umur dan berakal.

2. Sunat kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak melakukan sembelihan qurban ini untuk anak mereka.

3. Wajib apabila pasangan bernazar.


Waktu -waktu Qurban

Disunatkkan atau dibolehkan mulai matahari naik pada hari Raya Haji atau selepas sembahyang dua rakaat sunat hari raya beserta dua khutbah yang mengikut dan berlarutan sehingga jatuhnya matahari pada 13 Zulhijjah.


Syarat binatang yang hendak dijadikan Qurban

1. Telah mencapai umur yang telah ditetapkan :

-Unta (5 tahun)

-Lembu (2 tahun)

-Kambing (mencapai umur 1 tahun)

2. Hendaklah binatang itu sihat dan tidak cacat. Tidak boleh dibuat korban binatang yang cacat atau penyakit kecuali perkara itu berlaku setelah ianya ditentukan untuk korban contohnya seseorang membeli lembu yang mencukupi syarat untuk dikorbankan tiba-tiba binatang itu menjadi kurus atau tempang kakinya sebelum hari korban maka boleh diteruskan.


Syarat-syarat Sah Qurban

1. Binatang ternakan yang halal (lembu, unta, kerbau, kambing dan biri-biri).

2. Binatang itu hendaklah tidak cacat yang mengurangkan dagingnya.

3. Mesti cukup umur untuk dikorbankan.

4. Hendaklah disembelih mengikut waktunya (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).

5. Hendaklah diniatkan korban ketika menyembelih binatang tersebut.

6. Penyembelih mesti terdiri dari orang Islam (ahli kitab).


Syarat-syarat Orang yang Berqurban

1. Islam (bukan Islam tidak sah)

2. Baligh (tidak sah bagi kanak-kanak yang belum sampai umurnya dan tidak diharuskan bagi wanita melakukan qurban untuk kanak-kanak kecuali jika walinya itu adalah bapa atau datuknya dengan syarat perbelanjaan qurban itu adalah wang dari bapa atau datuknya).

3. Berakal.

4. Merdeka.

5. Berkuasa (iaitu seseorang yang hendak melakukan qurban itu mestilah mempunyai kelebihan keperluan diri dan orang dibawah tanggungannya dihari raya dan di hari tasyrik. Haram melakukan qurban bagi orang tidak berkuasa.


Sunat ketika Qurban

1. Memilih binatang ternakan yang gemuk.

2. Tuan empunya korban itu menyembelih sendiri.

3. Disembelih pada waktu siang hari.

4. Membaca bismillah ketika hendak menyembelih binatang itu.

5. Membaca takbir.

6. Membaca selawat Nabi Muhammad s.a.w.

7. Dengan menggunakan pisau yang tajam.

8. Menghadap ke arah kiblat.


Bahagian Qurban

1. Tiap seekor kambing atau binatang sebayanya adalah untuk seorang sahaja.

2. Tiap seekor lembu atau binatang sebayanya adalah untuk 7 orang (7 bahagian).

3. Tiap seekor unta atau binatang sebayanya adalah untuk 7 orang (7 bahagian).


Pembahagian Daging Qurban

Lebih afdal menyedekahkan kesemua daging kecuali kadar beberapa suap untuk dimakan sendiri yang mana terdiri dari hati, limpa dan daging. Mengikut amalan sunnah dalam pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk jiran tetangga manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin.


Hikmat Qurban

1. Memperingati peristiwa korban yang dilakukan oleh nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail.

2. Melatih umat Islam supaya tidak sayang harta benda demi mematuhi perintah Allah.

3. Memberi latihan kepada umat Islam supaya sentiasa berkorban apa saja demi memperdekatkan diri kepada Allah.

4. Agar fakir miskin dapat bergembira dengan mendapat daging korban yang tidak mampu dibelinya dan dapat merayakan hari tersebut dengan tenang dan gembira.

5. Supaya dapat menghilangkan sifat dan perasaan bakhir.


Marilah sama-sama kita menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi perintah Allah s.w.t. Kita tanya pada diri kita sendiri apakah pengorbanan yang paling besar yang telah kita lakukan di dalam hidup ini? Pengorbanan untuk diri sendiri? Pengorbanan untuk keluarga kita? Pengorbanan untuk agama, bangsa dan negara kita?

Dikala ini juga saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Korban kepada semua muslim muslimat. Semoga beroleh keberkatan dan keredhaan dari-NYA. Sesiapa yang balik kampung tu..semoga selamat dalam perjalanan pulang dan pergi. Berhati-hati di jalan raya…jangan anda dikorbankan dan terkorban di jalan raya 🙂 ingat orang tersayang.

Jangan anda menjadi sebegini...hati-hati ketika memandu...jika begini keadaanya biarkanlah hanya kambing untuk dikorbankan ketika raya korban nanti 🙂

 


5 Respons

  1. selamat hari raya

  2. manarik blog ni dengan pengisian yang agak bagus untuk dapat Ilmu…TQ

  3. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH,
    SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
    SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA KEPADA SELURUH WARGA KERJA KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN KHUSUSNYA DAN SELURUH UMAT ISLAM DI MALAYSIA.
    AYUH KITA CONTOHI SEJARAH PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL SERTA JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW. KITA BERKORBAN DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA. MOGA SEGALA PENGORBANAN KITA MENDAPAT HIDAYAH DAN GANJARAN DARI ALLAH SWT, INSYAALLAH.

Tinggalkan Jawapan kepada admin Batal balasan